Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia." (Riwayat Muslim)
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa. Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: perempuan-perempuan, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (surga).” -Ali ‘Imran [3] ayat 14
Hadis ini juga menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujiaan terhadap iman seseorang diakhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir diwaktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku. Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman. Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah swt. dengan ilmu". Mudah-mudahan Allah swt. menjadikan
kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah Swt. akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.
Ramai yang sanggup mengadaikan aurat kerana ingin mendapat pekerjaan. Sanggup melepaskan akidah kerana cinta kepada wanita atau lelaki yang berlaian agama. Sanggup menjual anak kerana ingin cepat kaya, Sanggup meminum keras kerana ingin terlibat sama dengan kawan-kawan yang bukan Islam. Hendaklah kita sentiasa muhasabah diri kita, walaupun kita tidak buat dosa yang besar, kita juga mengadaikan masa yang berlalu dengan perkara yang tidak faedah seperti menonton tv, melayan cerita-cerita di sosial media yang tidak membawa apa-apa manfaat.
Hargailah masa yang kita ada dan gunakan untuk menambah ilmu, berdakwah, bekerja, beramal, berzikir supaya kita sentiasa bersyukur dan gunakan segala pemberian Allah pada hak nya.





No comments:
Post a Comment